Labels: Harta Pusaka , islamic will , waris , wasiat
"Abang, lantiklah isteri abang sebagai penjaga harta anak abang siap-siap...nanti bila abang dah tiada, isteri abang ini jugalah yang akan jaga dan besarkan anak-anak abang"
Kalau anda bukan peguam syarie...bukan hakim syarie...bukan pegawai
bicara pusaka...bukan pekerja di Amanah Raya, anda mesti tidak pernah
terpikir akan siapa yang akan menjaga dan mengurus harta anak-anak anda
jika ditakdirkan anda meninggal dunia ketika usia anak-anak anda masih
di bawah 18 tahun.
Atau suami secara spontan mengatakan isterilah yang akan jaga harta
anak-anak anda kerana mereka yang akan jaga anak-anak anda nanti jika
anda pergi dahulu. Jaga anak-anak mungkin YA, tetapi menjadi penjaga
harta bagi anak bawah umur mungkin TIDAK dari sudut undang-undang
syarak.
Sepintas perbualan dengan seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah
kematian suami kira-kira 10 tahun lepas. Suaminya seorang guru di sebuah
sekolah di Pontian, Johor meninggal dunia kerana sakit ketika usia anak
masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa perancangan harta pusaka.
Oleh kerana Puan Imah seorang yang berkerjaya, biasa dengan
urusan-urusan pejabat, puan Imah telah menguruskan segala urusan harta
pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran
hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kredit kad dan
hutang rumah sehingga lah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas
nama waris diselesaikannya. Lebih setahun jugalah urusan pusaka itu baru
selesai.
Namun puan Imah agak terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh
pihak mahkamah yang mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh
anak perempuan mereka yang merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, takaful
dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada Amanah Raya. Mahkamah
tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu
baru berusia 6 tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu
kandung anak tersebut, yang melahirkan dan membesarkan, sihat akal dan
tubuh badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya
tetapi kenapa mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka
yang sepatutnya diterima oleh anaknya?
Disebabkan keputusan mahkamah tersebut, selama 10 tahun ini Puan Imah
membesarkan anaknya dengan duit gajinya. Nasib baik dia bekerja dan duit
gajinya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka 2
beranak. Walaubagaimanapun ada masa-masa tertentu pendapatannya juga
tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan
perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang
dibawah jagaan Amanah Raya.
Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor
Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan
dijaga di syarikat tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya.
Dalam 2 minggu biasanya permohonan diluluskan dan Puan Imah perlu
kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah
diluluskan tersebut yang mana jarak rumah dan syarikat tersebut terletak
lebih kurang 80km. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri untuk ke
Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga hendak menaiki pengangkutan awam ke
Johor Bahru. Begitulah rutinnya saban tahun selama 10 tahun ini dan
rutin ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu cukup umur 18 tahun
beberapa tahun lagi.
"Ketahuilah suami bahawa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak-anak bawah umur secara automatik"
Kenapa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak bawah umur secara
terus? Merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, 'bapa
adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan
harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak
di sisi
undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki
di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). Jika
datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik
oleh bapa kanak-kanak tadi.'
Jika bapa tidak meninggalkan wasiat pada waktu kematiannya dan ayahnya
juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang
syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta
pusaka yang diterima oleh anak akan diserah kepada Amanah Raya untuk di
jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.
"Jangan letak anak bawah umur sebagai penama atau penerima hibah polisi takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji"
Begitu juga halnya bagi wang hasil polisi takaful, KWSP, ASB dan
sebagainya yang mengamalkan konsep penamaan. Ramai orang meletakkan
penama anak yang masih di bawah umur dengan anggapan sekiranya berlaku
kematian pada si ayah (pemegang polisi/pencarum/pemilik harta), wang
dari sumber tersebut akan dapat kepada anak untuk mereka survive nanti.
Namun berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih
di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan
diserah kepada Amanah Raya bukannya diserah terus kepada anak yang masih
bawah umur ataupun kepada isteri atau ibu anak tersebut. Boleh rujuk
jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Jadi, bagaimana isteri hendak survive membesarkan anak-anak bila
suami tiada nanti? semua sedia maklum, bahagian isteri dalam faraid
suami adalah sebanyak 1/8 berbanding bahagian anak yang mengambil asobah
(baki) faraid suami.
Jadi sebagai isteri dan juga ibu kepada anak-anak, dengan 1/8 bahagian
pusaka itulah ditambah dengan pendapatan isteri (jika ada) digunakan
secara berjimat oleh si isteri untuk menampung perbelanjaan sara hidup
anak-anak, perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan hari raya
anak-anak, menampung kos perubatan anak-anak dan sebagainya. Belum
dikira lagi sara hidup isteri itu sendiri lagi. Tidakkah suami kasihan
akan isteri anda yang terus setia mengorbankan diri demi anak-anak anda
bersendirian tanpa suami di sisi? Meletak tepi keinginannya untuk
berhias dan bermewah-mewah demi mengutamakan keperluan anak-anak.
Sehinggakan isteri sendiri tidak merasa 1/8 haknya dari pusaka
suaminya.
Oleh itu, suami jangan alpa, jangan leka dan jangan ambil mudah. Islam
telah menggariskan keperluan berwasiat untuk melantik penjaga harta bagi
anak yang masih bawah umur. Rujuk Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
yang jelas menyatakan bahawa 'Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luas untuk membuat melalui wasiat
apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan penjagaan anak-anaknya
yang masih kanak-kanak dan berhubung dengan hal memperlindungi
kepentingan-kepentingan mereka.'
"Suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiat"
Kepada suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta bagi anak-anak anda
agar isteri dan anak-anak anda tidak terbeban jika ditakdirkan anda
pergi dahulu ketika usia anak-anak masih kecil. Bila suami melantik
isteri sebagai penjaga harta anak-anak di dalam wasiatnya, selepas
kematian suami, bahagian pusaka yang diterima oleh anak-anak akan
diserah kepada isteri untuk diguna secara berhemah sebagai pemegang
amanah atau penjaga harta bagi manfaat anak-anak tersebut sehingga cukup
umur. Dengan itu, anak-anak anda membesar dengan hasil titik peluh yang
telah anda usahakan selama hayat anda.
Bukannya tidak percaya pada datuk tetapi jika datuk juga ditakdirkan
pergi dahulu. Pakcik-makcik kepada anak-anak anda pula, walaupun
menerima pusaka anda, tetapi tiada peruntukan undang-undang yang jelas
mengatakan mereka wajib menanggung nafkah anak-anak anda sehingga
mencapai umur dewasa. Bukannya Amanah Raya tidak bagus dalam menjaga
harta anak-anak anda tetapi prosedur dan jarak tempat tinggal yang
menjadi kekangan. Dan akhirnya isteri anda yang merupakan ibu kepada
anak-anak anda juga yang akan berhempas pulas bekerja siang dan malam
menampung nafkah membesarkan anak-anak anda sendirian.
(Artikel ini dipetik dari blog http://pakarpusakaislam.blogspot.my setelah mendapat kebenaran dari penulis)