WDL Demo Rss

Sedekah dalam Wasiat

Duit RM1, RM10 dan RM100 sedang berborak-borak sambil berjalan balik dari masjid... RM100 berkata "Amacam Raya dan cuti sekolah tahun nih, Aku banyak berjalan... Aku dah sampai ke London dan cuti-cuti merata, dah sampai hotel, dah sampai kedai boutique beg tangan, kedai baju. Shopping, kedai handphone... memang best... korang sampai ke mana ?". RM10 menjawab " Aku ada lah sampai kat restoren, kedai-kedai mamak, KFC dan kedai-kedai buku je". RM1 pulak menjawap "Hmm…beruntung jugak korang. Aku sampai kat tabung derma masjid dan surau jerr"

Memang kita kalau bab bersedekah, memang agak susah...

Dari Abu Hurairah, "Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah Jariah (waqaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya" (H.R. Muslim )

Semua orang islam yang beriman percaya kalau kita mati, semua benda-benda kita akan tinggalkan di dunia ini - Rumah besar, kereta besar, SUV, TV LCD Plasma, Tanah, duit beratus ribu kat KWSP dan bank dsbnya. Mengikut hadis di atas, pahala sedekah akan bertali-arus sampai kepada kita. Dilemanya sekarang ni, kalau nak sedekah banyak-banyak, nanti tak cukup tampung keluarga.

Disinilah intrumen Wasiat boleh diguna-pakai. Kita boleh bersedekah sebanyak (maksimum) 1/3 daripada harta pusaka kita untuk sedekah - rumah anak-anak yatim, tahfiz dan lain lain. Cuba bayangkan kalau kita dapat sedekahkan RM10,000 untuk satu sekolah tahfiz yang sudah dijanjikan oleh rasullah (saw) akan memberi manafaat kepada kita di alam kubur nanti… Insyaallah sejuk kubur kita

Kalau nak sedekah RM10,000 sekarang… tak tahu bila. Nak harapkan waris bersedekah selepas kita mati, tak tentu lagi. Jadi, wasiatlah satu-satunya cara untuk bersedekah selepas mati

Wallahualam

Isteri… untuk mu 1/8 dari harta ku…

Mengikut undang-undang Faraid, Isteri ada hak sebanyak 1/8 dari harta pusaka suaminya yang meninggal (jika mereka ada anak) atau ¼ daripada harta jika tiada mempunyai anak. Oleh kerana hukum Faraid adalah ketentuan Allah dalam Al-quran, tak payahlah kita membantah atau mempersoalkan keadilan ketentuan ini - terima dan reda sahajalah. Mesti ada hikmahnya.

Tetapi, kita boleh merancang untuk menambah lagi bahagian harta isteri melalui instrumen Wasiat, Hibah, Harta sepencarian dan amanah.

Khas untuk para suami-suami, biasanya setelah pemergian kita keadaan keluarga kita akan menjadi agak kucar kacir dengan tekanan emosi and kesedihan. Merancanglah dari sekarang supaya waris-waris kita tidak menghadapi masalah kewangan setelah kita pergi.

Contoh...

"Bang... 1/8 tu mungkin tak cukup untuk menyara hidup saya dan anak-anak" ujar si isteri kepada suaminya. "Yang, Abang dah declare rumah ni dan kondo kita sebagai harta sepencarian kita, dan mewasiatkan kereta-kereta kita untuk dipindah hak milik kepada you kalau I mati. Dan juga, semua baki dalam bank akaun gaji abang dan ASB juga diwasiatkan untuk you untuk menyara anak-anak. Insya Allah, you masih boleh hidup dengan sederhana dengan anak-anak" jawap suaminya... Kan cantik tu !

Saya teringat dalam lecture Imam Hamza Yusuf berkenaan dengan rezeki - Rezeki kita adalah sesuatu yang kita guna-pakai atau dibelanjakan. Kalau kita ada duit berjuta dalam bank dan rumah di London (yang tak pernah kita jejak kaki) selepas kita mati, itu semua bukan rezeki kita sebab kita tak pernah menggunakannya. Yang amat menyedihkan, kita akan ditanya tentang harta-harta tersebut - Dah lah masa hidup tak boleh pakai, dah mati pun kena seksa pasal simpan duit banyak and tak membelanjakannya.

Jadi, rancanglah untuk membelanjakkan dalam RM1500 untuk membuat wasiat dan harta sepencarian demi kesenangan waris-waris kita

Waris Analisis

Kenapa kita kena tahu siapakah waris kita ? Ianya bertujuan untuk merancang pembahagian harta-harta kita sesudah kita meninggal dunia. Kenapa lak nak merancang ? Saya nak jawap dengan contoh yang mudah… perihal anak angkat

Sesetengah keluarga, anak angkat dibesarkan dengan penuh kasih saying seperti anak sendiri. Tetapi, jika tanpa instrumen wasiat dan pergantung dengan undang-undang Faraid semata-mata, anak angkat tidak ada hak tuntutan terhadap harta pusaka. Jadi, kita boleh merancang untuk mengagihkan harta kepada anak angkat selalui wasiat, hibah dan sebagainya.

Sama juga dengan hak isteri dan harta sepencarian. Jika tidak dikhususkan harta-harta simati sebagai harta sepencarian, orang lain ada hak untuk menuntut.

Sama juga dengan hak anak anak-anak perempun jika simati tiada anak lelaki...

Jika kita merancang, kita akan dapat memastikan (insya Allah) hak-hak waris-waris kita terjaga.

Dibawah adalah contoh senario seorang suami meninggalkan seorang isteri, 2 anak lelaki, dua anak perempuan dan seorang Ibu


Dibawah adalah contoh senario seorang isteri meninggalkan seorang suami, 2 anak lelaki dan dua anak perempuan dan seorang ayah dan seorang Ibu

Siapakan waris-waris anda dan berapakah bahagian mereka ? Sila hubungi saya di ewasiat@gmail.com untuk mendapatkan analisis khusus untuk tuan-tuan dan puan-puan secara PERCUMA

Waris dan undang-undang Faraid

Cuba kita tanya diri sendiri… siapakan waris-waris kita yang akan mewariskan harta peninggalan kita setelah kita mati ? Ramai orang jawab - anak-anak, ibu bapa, isteri, adik beradik. Jawapan itu semulanya betul. Akan tetapi seseorang yang berharta dan berhutang seharusnya tapi secara detail siapakan waris mereka supaya hak-hak orang yang mereka sayangi dilindungi.

Secara ringkasnya, waris-waris yang sah adalah tergolong dalam 3 golongan di bawah;

a) Melalui hubungan keluarga (Blood relationship)
b) Melalui hubungan perkahwinan (Marriage)
c) Baitul-Mal


3 golongan yang sering dipersoalkan hak mereka sebagai waris adalah;

a) Anak angkat - Mereka adalah bukan waris simati yang berhak keatas hartanya mengikut undang-undang Faraid
b) Anak tidak-sah-taraf - Mereka juga dikenali sebagai anak luar nikah. Anak-anak luar nikah tidak berhak menuntut harta bapanya tetapi dia berhak mendapat bahagian harta daripada harta-harta ibunya
c) Saudara bukan islam - senario ini terjadi terutamanya kepada mua'alaf yang baru memeluk agama Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mewaris harta simati mengikut undang-undang Faraid.

Saya akan panjangkan perbincangan ini untuk menyentuh waris-faraid analis dan bagaimana caranya untuk mewasiatkan harta kepada mereka yang tidak layak menurut hukum faraid.

Faraid dan Aplikasinya

Secara umumnya, Faraid adalah panduan yang termaktub di dalam Al-Quran (surah An-Nisa ayat 11-) untuk membahagi harta pusaka simati kepada waris-warisnya. Malangnya, ada orang mempertikaikan perlunya wasiat dengan alasan "alah... buat apa ada wasiat, FARAID kan ada". Ini adalah tanggapan yang salah.

Hukum faraid sebenarnya adalah "last resort" atau panduan terakhir untuk menguruskan harta-harta simati sekiranya ada bantahan terhadap pesanan, hasrat atau harapan simati ataupun waris-waris menghadapi jalan buntu dalam membahagikan harta-hartanya.

Nota: Harta yang boleh dibahagikan mengikut faraid hanyalah lebihan dari harta yang digunakan untuk membayar hutang, hibah, sedekah 1/3 dan harta sepencarian

Contoh:

Abdullah telah berwasiat untuk membahagikan wang KWSP, tabung haji dan insuran kepada waris-warisnya secara SAMA RATA.

a) Sekiranya semua waris-waris beliau bersetuju dengan pesanan Abdullah, jadi harta-harta tersebut dibahagikan secara SAMA RATA oleh wasi yang dilantik beliau

b) Sekiranya salah seorang dari warisnya tidak bersetuju, maka waris yang tidak bersetuju itu akan mendapat peratusan beliau mengikut Faraid dan harta selebihnya akan dibahagikan secara SAMA RATA dikalangan waris-waris yang lain

c) Sekiranya semua waris tidak bersetuju dengan pesanan pesanan simati, FARAID akan digunakan secara sepenuhnya untuk membahagikan harta-harta simati.

Kesimpulannya, Wasi atau executor tidak seharusnya meletakkan undang-undang FARAID sebagai satu-satunya panduan untuk membahagikan harata-harta simati.

Jika simati mempunyai wasiat/pesanan/hasrat tertentu, pihak wasi atau executor hendaklah cuba menunaikan hasrat tersebut, dengan persetujuan dari waris-waris.

Jika simati tidak mempunyai wasiat yang sah (yang diterbitkan oleh agensi-agensi wasiat), Wasi ataupun Executor seharusnya merujuk kepada waris-waris untuk mencari kalau ada pesanan yang dibuat oleh simati (secara lisan atau bertulis) yang mempunyai saksi untuk menghormati pesanan, hasrat dan harapan simati untuk membahagikan harta kepada bukan waris, contohnya sedekah kepada masjid, rumah anak-anak yatim, dan anak angkat

Hanya jika ketiadaan pesanan simati atau pesanan/hasrat/wasiat beliau mendapat bantahan, maka Wasi atau executor boleh merujuk kepada undang-undang FARAID untuk membahagikan harta-harta simati.

Wallahualam

FAQ: Fungsi dan Peranan Wasi

Soalan: Apa itu Wasi ?
Jawapan : Wasi adalah Seorang yang dilantik oleh pewasiat untuk mentadbir harta pusaka peninggalannya semasa beliau masih hidup

Soalan: Adakah waris menjadi seorang Wasi ?
Jawapan: Ya. Pewaris boleh menjadi Wasi

Soalan: Bolehkan melantik Syarikat menjadi Wasi ?
Jawapan: Boleh, tetapi Syarikat tersebut mestilah sebuat syarikat Trustee. Tambahan pula, lebih elok untuk menamakan sebuah Syarikat Trustee sebagai Wasi tambahan kerana Wasi individu mungkin meninggal dunia semasa pewasiat masih hidup.

Soalan: Adakah perlantikan Wasi boleh dicabar ?
Jawapan: Tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun didalam peruntukan undang-undang di Malaysia

Soalan: Apakah yang terjadi sekiranya tiada Wasi dilantik ?
Jawapan: Semua waris-waris simati hendaklah bersetuju untuk melantik seorang pentadbir harta. Biasanya proses ini mengambil masa yang lama kerana semua waris-waris mesti dikumpulkan dan semuanya kena bersetuju dengan lantikan pentasbir harta tersebut.

Soalan: Apakah kesilapan-kesilapan yang biasa terjadi berkaitan dengan Wasi dan pembahagian harta di Malaysia ?
Jawapan: Ramai yang beranggapan penama/benefisiari insurans atau KWSP atau tabung haji atau akaun perbankan adalah sama dengan Wasi. Sebenarnya, penama/benefisiari adalah orang yang ada hak untuk mengeluarkan wang pampasan. Wang tersebut sepatutnya diserahkan kepada Wasi untuk diagihkan.

Contoh:
Abdullah semasa bujangnya telah menamakan Ibu dan adik bongsunya sebagai penama KWSP. Tetapi, beliau tidak menukarkan penama KWSP sehinggalah dia meninggal dunia dan beliau telah meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

Memandangkan ibu Abdullah juga meninggal dunia, adik bongsu beliau telah ke KWSP dan mengeluarkan semua wang simpanan Abdullah dan diagihkan diantara adik beradiknya tanpa se-sen pun diberikan kepada balu dan anak-anak Abdullah.

Akibatnya – Nasib waris Abdullah iaitu isteri dan anak-anaknya tidak terbela dan adik beradik Abdullah telah memakan harta anak-anak yatim.



Apa yang sepatutnya berlaku;
a) Abdullah hendaklah sama ada memberi tahu Wasi wasiat beliau tentang penama KWSP atau menukarkan penama kepada Wasi tersebut.
b) Wasi kemudian mengeluarkan dan mengagihkan wang KWSP mengikut wasiat Abdullah atau mengikut kiraan Faraid.

Dengan ini, nasib keluarga Abdullah akan terbela. Senario yang sama boleh digunakan untuk wang insurans, tabung haji and harta mudah alih simati yang lain

Had maksimum Pusaka Kecil dinaikkan ke RM2 Juta

Apa itu pusaka kecil ? Dulu hadnya berapa ? Kenapa kita kena tahu pasal ni ? Inilah soalan-soalan yang biasa diutarakan lepas baca keratan akhbar ni.


Sebelum 1hb September 2009, harta pusaka yang melebihi RM600 ribu akan dibicarakan di Mahkamah tinggi untuk mendapatan probet/surat kuasa kepada wasi untuk mentadbirkan harta tersebut. Sebagai contoh, jika simati meninggalkan sebuah banglo di USJ yang berharga RM1.5juta, wasi atau pentadbir harta (jika tiada wasiat) perlu turun naik Mahkamah tinggi dan dapatkan khidmat peguam untuk mendapatkan hak mentadbir harta tersebut. Tetapi, selepas 1hb September, harta tersebut akan dibicarakan diperingkat pejabat tanah kawasan sahaja. Ini bermakna, menjimatkan kos (tak de peguam) and mempercepatkan urusan.

Ingin tahu prosedur tuntutan Mahkamah Tinggi ? Sila lihat keratan akhbar ini. Terbukti, urusannya agak rumit dan intrumen wasiat sahaja yang memudahkan urusan tuntutan harta pusaka

Peninggalan yang terbaik untuk keluarga...

"Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang saleh, maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemauanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya". (QS Al-Kahfi: 82)

Kisah di atas adalah senario ketiga yang dialami oleh Nabi Musa (a.s) dan al-Khidir. Pengajaran yang penting ialah;

Kenapa Allah hantarkan Al-Khidir untuk membina semula dinding yang hendak runtuh ? Kerana Ayah mereka adalah seorang yang soleh. Kalau kita nak Allah melindungi zuriat-zuriat kita, lakulah amalan-amalan yang soleh.

Sa'id ibn al- Musayyib, seorang Tabi’in besar, pernah memberitahu anaknya “Wahai anak, aku melakukan banyak amalan kerana aku berharap Allah akan menjaga mu dengannya”


Kita sebagai parents akan menyediakan yang terbaik kepada anak-anak seperti menabung, education fund, insurans, PTPTN, mewasiatkan harta dan sebagainya. Tetapi yang terbaik untuk kita tinggalkan ialah amalan-amalan kita yang baik. Ini adalah janji Allah kepada orang-orang yang percaya and soleh bahawa Allah akan tolong and selamatkan mereka setelah kita tiada di dunia ini.

Wallahualam.

Wasiat Case Study - Mikail Jackson

Case study ini bertujuan untuk menerangkan secara ringkas mengenai benefit untuk mendapatkan wasiat.

(Nota: Nama yang digunakan di sini tidak ada kaitan dengan sesiapa yang hidup atau yang baru mati)

a) Perlantikan asset executor atau Wasi - Oleh kerana Mikail tidak melantik seorang wasi untuk mentadbirkan harta-hartanya, terdapat konflik antara peguam-peguam Mikail dan ibu beliau untuk menguruskan harta pusaka. Ini akan melambatkan process pembahagian harta
Dengan wasiat di as-salihin, Mikail akan melantik beberapa individual atau memilih As-Salihin trustee sebagai Wasi. Perlantikan ini akan dimasukkan didalam wasiat supaya ianya tidak boleh dicabar oleh waris-waris

b) Hak penjagaan anak-anak bawah umur - Ada ura-ura mengatakan bekas isteri Mikail Jakson akan cuba untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak. Ini akan memberi kesan negatif dan trauma kepada anak-anak beliau.
Dengan wasiat di as-salihin, Mikail boleh menyatakan hasrat beliau dengan menyenaraikan beberapa individu yang layak untuk menjaga kepentingan anak-anak. Ini termasuk punca-punca harta untuk membiayai kos perbelanjaan kehidupan harian, pelajaran dan sebagainya. Walaupun ia boleh dicabar dimahkamah, ianya akan termaktub didalam wasiat Mikail

c) Penyimpanan wasiat - Selepas kematian beliau, terdapat komplikasi mencari wasiat Mikail.
Dengan wasiat di as-salihin, wasiat Mikail akan disimpan di bilik kebal di As-salihin trustee pada fi yang rendah (RM100 setahun)

d) Melunaskan hutang - Mungkin ada pihak-pihak yang akan tampil kehadapan menuntut hutang dari waris Mikail Jakson selepas harta-harta beliau dibahagikan. Ini akan menyusahkan waris-waris.
Dengan wasiat di as-salihin, Mikail akan menyimpan senarai hutang dunia and akhirat (puasa ganti, haji dan sebagainya) and Wasi wajib melunaskan hutang-hutang beliau sebelum pembahagian harta.

e) Status waris - Telah ada pihak-pihak yang tertentu mempertikaikan status waris bagi anak-anak Mikail - anak angkat atau anak sendiri. Ada juga pihak yang cuba untuk mendapatkan harta beliau walaupun mereka tidak layak
Dengan wasiat di as-salihin, Mikail boleh memberi setakat 1/3 dari harta-hartanya kepada bukan waris - anak angkat, charity dan sebagainya. Beliau juga akan membuat faraid dan waris analysis begi menentukan hak-hak mereka.

Terdapat banyak lagi situasi atau masalah yang dapat diselesaikan dengan menggunakan wasiat untuk mengurukan harta pusaka. Kita boleh mengambil pengajaran dari apa yang berlaku kepada Mikail Jakson.

Wasiat dan Pengurusan hutang...

Kalau bercakap tentang wasiat, orang akan berkata…”saya tak de harta, hutang je banyak… apa yang nak diwasiatkan”. Tapi sebenarnya sebab ada hutanglah kita nak kena berwasiat.

Zaman sekarang ni memang kita tak boleh lari dari hutang. Nak pakai kereta,kena ambik loan. Nak beli rumah, kena pakai loan, nak beli TV, pakai kredit kad. Jadi, kalau kita pandai berhutang, kenalah pulak pandai penguruskannya.

90% dari kerja menguruskan hutang adalah berkaitan dengan record-keeping – Sejauh mana kita kemaskinikan senarai pemuitang. Kalau kita masih hidup ni kira senang lagi lah sebab tiap-tiap bulan bil sampai. Cuba bayangkan selepas sahaja baca blog nih, Allah takdirkan kita mati… agak-agak sedara-mara tahu tak berapa Kredit Kad kita ada ?

Rasanya semua orang tahu apakah consequences kalau kita mati berhutang. Ada banyak ayat-ayat Alquran dan Hadith yang menghuraikan akibat-akibat kalau hutang tak dijelaskan. Saya nak ambik iktibar melalui sebuah cerita dizaman Khalifah Abu Bakar…

Thabit Ibn Qays adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w dari kalangan orang-orang Ansar. Thabit adalah juru cakap kepada Nabi Muhammad s.a.w kerana kebolehannya bersajak dan berpidato. Semasa peperangan Al-Yamamah dizaman Khalifah Abu Bakr, Thabit telah dipilih oleh Allah untuk mati shahid. Seorang mualaf ternampak perisai dan pedang Thabit and dia menyimpannya sebagai ganjaran harta perang. Kemudian, seorang sahabat bermimpi berjumpa dengan Thabit dan beliau menerangkan seorang yang tinggal di pinggir bandar Madinah telah mengambil perisai dan pedangnya. Thabit juga menerangkan satu persatu dimana kedudukan harta-hartanya untuk dijual dan duitnya diserahkan kepada khalifah untuk menjelaskan hutang beliau.

Bayangkanlah, seorang yang mati syahid yang dijamin balasan terbaik dari Allah masih tergantung rohnya sehinggalah dia menjelaskan hutang-hutangnya. Agak-agak apa yang akan kita lalui?

Jadi kesimpulannya , kalau kita banyak berhutang, setidak-tidaknya atau paling "busuk" kita mesti ada rekod yang tepat tentang status hutang kita supaya para waris boleh menjelaskannya secepat mungkin. Dan, intrumen yang terbaik untuk merekod hutang-hutang kita adalah menggunakan wasiat


Wallahualam

Ketentuan Mati and Mengingatinya...

Kematian itu satu ketentuan… ketentuan ini bukan saja dipercayai oleh orang islam, bahkan oleh orang bukan islam. Hasan Al Basri pernah membicarakan ironi ketentuan ini – Walaupun semua orang tahu tentang ketentuan kematian adalah hakiki dan pasti berlaku, tetapi persediaan untuk menempuhnya adalah amat sikit. Akan tetapi, ketentuan rezeki itu masih samar-samar tapi manusia menumpukan seluruh masa dan mencarinya.

Seorang tabi’in Ato’ ibni Rabah menerangkan kebaikan-kebaikan memperingati mati termasuklah;

a) Mempercepatkan Taubat – Dengan muhasabah diri, kita akan sedar betapa banyaknya dosa-dosa. Jadi, kita akan mempercepatkan and memperbanyakkan taubat
b) Redha and berpuas hati dengan rezeki – Ini kerana kita akan sedar bahawa hidup ini adalah sementara jadi kita akan menyedari and mensyukuri apa-apa yang Allah kurniakan kepada kita
c) Tidak berlumba merebut duniawi dengan orang duniawi – Ini bermakna, kita tidak berlumba-lumba mengejar harta bersama-sama dengan orang yang megejar dunia semata-mana, sehingga melupakan tanggung jawab kita sebagai hamba kepada Allah s.w.t.

Seorang Khalifah bernama Sulaiman Ibn Abu Malik pernah ke Madinah dan bertanyakan kepada Abu Hazim perihal kenapa manusia membenci mati. Abu Hazim menerangkan yang manusia membina dam memakmurkan dunia dan menghancurkan Akhirat mereka. Jadi, secara logiknya, manusia tidak mahu keluar dari dunia yang mereka bina siang dan malam.

Kesimpulannya, umat islam diseru untuk memperbanyakkan muhasabah diri dana memikirkan kan akan kematian:- adakah kita sudah bersedia atau tidak dengan amalan-amalan Akhirah ? apakah hutang piutang kita adakan dijelaskan selepas kita mati ?

Sebagai penutup, saya ingin berkonsi satu lagu yang menarik mengenai harta dan mati daripada Zain Bhika dan Dawud Wharnsby Ali dan Abdul Salam (Native Deen). Satu peringatan untuk kita yang hanya mengejar dunia and apa didalamnya.



Wallahualam

Muqaddimah

Objektif blog ini ialah untuk memberi pesanan and pengetahuan kepada saya dan rakan-rakan tentang kepentingan berwasiat. Blog ini akan membawa topik-topik berkaitan dengan ketentuan mati, pengurusan harta dan hutang, wasiat dan seterusnya instrumen atau kaedah yang disarankan oleh syarak untuk mengurus harta pusaka.

Rujukan – Saya akan menggunakan rujukan dari kitab suci Al-quran and hadith untuk mengutarakan ketentuan and hukum-hukum berkaitan dengan wasiat. Saya juga akan merujuk secara tidak langsung bahan-bahan yang diterbitkan oleh As-salihin.

Sepanjangan siri artikel ini, saya boleh dihubungi di ewasiat@gmail.com untuk sebarang pertanyaan dan kemushkilan. Saya akan cuba sedaya-upaya dan semampu saya untuk menjawab semua persoalan. Jika tidak, saya akan rujuk semua persoalan and permasalahan dengan pihak-pihak yang berpengetahuan.

Sebagai permulaan, saya ingin ajukan satu soalan – berapa kali kah kita terfikir tentang kematian kita sendiri, dalam konteks apa yang akan terjadi kepada peningallan kita – harta, hutang, amalan and waris-waris.

Contoh paling relevan ialah, Jika anda mempunyai sebuah kereta/rumah/tanah dibawah nama anda, siapakah yang akan mewarisinya selepas anda meninggal dunia ?

Sebagai penutup, saya ingin berkongsi sebuah hadith yang dibacakan oleh Khatib didalam khutbah di Masjid Munawwarah Shah Alam Seksyen 27 baru-baru ini.

"Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya uantuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." ( Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya )

Yang menariknya, ciri-ciri seorang manusia yang cerdik bukanlah diukur dengan berapa syarikat yang ditadbir, atau berapa ijazah/sijil yang terpaku di dinding pejabat, atau berapa banyak aset di bank atau gelaran Prof/Dr. Orang cerdik ialah orang yang selalu mengingati mati. Dan, merancang harta pusaka dan wasiat adalah tergolong dalam amalan-amalan mengingati mati.

Wallahu alam

Wassalam